Malam sudah lama bermula. Sudah mahu
sampai di pertengahannya. Namun, bunyi dentuman bunga api di luar sana masih
rancak. Cahaya warna warni memenuhi langit Lumut malam ini. Saya masih
terkurung di dalam dunia sunyi. Memandang dinding dan sesekali berbahasa dengan
angin.
Ya Mutakabbir!
Tidak pernah dan tidak akan pudar
kemegahan-Mu, meski manusia menunjukkan pelbagai keupayaannya. Dan, malam yang
penuh kegembiraan bagi mereka yang memiliki syurga dunia ini, telah mengajar
hamba untuk meneliti jauh ke dalam diri sendiri.
Ya Musawwir!
Cahaya api yang berbunga-bunga,
memecah warna gelap langit-Mu. Mereka bahagia. Dari sudut terpencil ini, hati
hamba terpecah-pecah oleh api nafsu. Sesat dalam gelap dan sunyi. Hamba mencari
makna. Yang hamba tunggu terlalu lama. Atau hamba telah temui cahaya itu,
tetapi hati hamba telah buta. Hamba mencari-Mu sedang Engkau tetap ada. Hamba
menyisihkan-Mu sedang Engkau tetap memerhati. Hamba terus mencari......
Ya Qahhar!
Hamba memiliki hati. Sekeping hati
yang Kau beri. Putih warna asalnya. Kini telah hitam hamba corakkan. Ke mana
lagi hamba mahu pergi? Ke sisi siapa lagi hamba mampu pergi? Pagi yang tak
terasa pagi. Malam yang tak terasa panjang. Hamba hilang tujuan. Mencari jalan
penyucian. Jalannya telah ada. Tidak pernah berubah ia dari sisi-Mu, ya Tuhan.
Hanya kaki hamba yang cedera. Dan hati yang penuh cela. Hamba hanya mampu
memandang cahaya itu, dari jauh. Hamba hulurkan tangan, tetapi hati hamba masih
dalam kegelapan. Waktu meninggalkan dan hamba terus terkebelakang. Dengan
penguasaan-Mu, kuasailah seluruh hati hamba, agar ia kembali suci, wahai Yang
Menguasai.
Ya Fattah!
Bagaikan sebuah pintu gua, yang
tertutup rapat. Hamba tidak ada daya, untuk membuka hati hamba sendiri. Kerana
keupayaan itu tidaklah hamba miliki. Milik-Mulah segala yang ada ini. Hamba
damba putih cahaya, dan dikembalikan hati hamba, kepada warna asalnya. Apalah
yang mampu hamba lakukan dengan hati segelap ini? Tiada cahaya. Tiada upaya.
Hamba hilang semuanya bilamana Engkau hamba tinggalkan. Alangkah malangnya
hamba, wahai Yang Maha Membukakan.
Ya Qabidh!
Hamba sudah tidak mampu bergerak ke
depan. Semakin jauh perjalanan, semakin hitam masa depan. Semakin jauh Engkau
hamba tinggalkan. Kabus itu terlalu tebal. Jurang itu terlalu dalam. Sakit ini
terlalu panjang. Hamba tidak mampu bahagia tanpa genggaman-Mu, walau sesaat.
Nyawa hamba milik-Mu, hidup ini hamba corakkan semahu. Hananya rasa, wahai
Tuhan. Ambillah hamba pulang, andai di hadapan adalah pilihan yang lebih sesat
harus hamba jalani.
Ya Muzil!
Terlalu hitam hati ini hamba
perlakukan. Penuh karat dan rasa sakit. Apakah ada yang wujudnya telah sebati
dengan hitam itu, mampu diputihkan kembali warnanya? Dan, kemaksiatan hamba
tetaplah dalam murka-Mu. Kekejian hamba tetaplah akan mendapat balasan-Mu.
Tetapi hamba merayu, jalan pulang ini, hamba merayu ambillah hamba kembali
untuk Engkau ampuni, Wahai Tuhan Yang Maha Menghinakan segala kejahatan hamba.
Ya Sami' Ya Basir!
Hamba mohon dalam desakan, tanpa ada
pengecualian. Engkau melihat kehinaan dan kederhakaan hamba, tetapi Engkau juga
mendengar rayuan hamba. Hamba sujud, hamba pohon. Sesunggunya, pada-Mu sajalah
tempat semuanya kembali.
Ya Ghaffar!!!
Tanpa pilihan, hamba meminta.
Api-api yang memecahkan dada langit-Mu, api-api yang telah membakar jiwaku,
hamba pohon keampunan, tanpa pengecualian. Bilamana telah lena semua makhlukmu,
dan berdiri hamba-hamba-Mu yang mukhlis, hamba merayu keampunan. Kepada-Mu, hamba
ingin pulang seperti burung-burung yang terbang aman. Seperti ikan yang
berenang tenang. Seperti pohon yang berzikir tanpa henti. Seperti laut yang
dingin penuh rindu pada-Mu. Seperti gunung-gunung yang sentiasa sujud
kepada-Mu. Kegelapan hati ini, hamba sudah tidak mampu menafasinya lagi.
Berikanlah hamba upaya, kembali berjalan di jalan-Mu yang lurus. Mohon
keampunan, mohon pertolongan, mohon bimbingan, wahai Tuhan Yang Maha
Mengasihani.
Ya Jalil, Ya Karim, Ya Raqib, Ya
Mujib
